Your Ad Here

Sunday, April 3, 2011

Hassan dilantik sebagai temenggung Penan pertama

Posted on April 3, 2011, Sunday
MIRI: Kebajikan kaum Penan di negeri ini akan lebih terjamin dengan pelantikan jutawan Penan, Datuk Hassan Sui sebagai temenggung Penan yang pertama semalam. Surat pelantikan beliau itu telah disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Num-pang pada satu majlis ringkas yang diadakan di pejabatnya (Jabu) di Kuching, Jumaat lalu.

Hassan, 63, ketika ditemui pemberita setibanya di Lapangan Terbang Miri dari Kuching lewat petang semalam menyifatkan pelantikan beliau sebagai penghargaan dan pengiktirafan paling tinggi kepada masyarakat Penan di negeri ini.

“Istimewanya pelantikan ini ialah saya bukan hanya dilantik sebagai temenggung Penan bagi kawasan Miri sahaja tetapi Sarawak keseluruhannya,” ujar beliau yang ternya-ta amat terharu dengan pelantikan tersebut. Justeru beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kerana telah memberi kepercayaan kepada beliau untuk menyandang jawatan sebagai ketua masyarakat kaum Penan.

Menurut beliau, apabila dilantik sebagai temenggung, sudah pasti tanggungjawab yang dipikulnya juga berat memandangkan beliau perlu menjaga kebajikan semua kaum Penan yang ada di ne-geri ini. “Saya akan berusaha meningkatkan taraf ekonomi kaum Penan yang dianggarkan seramai 16,000 orang serta tinggal secara bertaburan di beberapa bahagian di negeri ini,” jelas beliau.

Menyentuh sedikit latar belakangnya, Hassan yang merupakan ayah kepada sembilan orang anak merupakan jutawan Penan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Beliau yang dilahirkan pada 7 April 1948 di Ulu Suai mula mendapat pendidikan awal pada Januari 1957 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah rendah atas di Central Upper Primary School, Bekenu pada 1962 dan 1963.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga Penan yang berpindah-randah, beliau yang merupakan anak kaum Penan yang pertama memijakkan kaki ke sekolah hanya mendapat pendidikan sehingga Darjah Enam. Pada 1968 dan 1969, beliau telah bekerja dengan kerajaan sebagai Upriver Agent (URA) di Tegageng Suai dan kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Perkhidmatan Awam Negeri dari 1978 hingga 1985.

Manakala pada 1991 hingga 2000, Hassan telah dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Pembangunan Orang Penan Sarawak sebelum melibatkan diri secara aktif dalam bidang perladangan kelapa sawit. Sementara itu, daripada sembilan orang anaknya, empat daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading yang terdiri daripada Maria Hassan lulusan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah, Serina Hassan (universiti di Amerika Syarikat), Azlan Hassan (university di Australia) dan Herman (INTI College Kuching).

No comments:

Post a Comment